SEMBANG PRU 5
“Hebat aku tengok kau berkempen kali ini, Leha?” Tegur Nita sambil mengisi barang-barang yang baru dibelinya di pasar ke dalam bonet keretanya.
“Mestilah, Nita. Kita kena pastikan kerajaan yang kita pilih nanti mampu membuat perubahan yang menguntungkan rakyat macam kita ni,” Syarah Leha bersemangat. Melihat Nita tidak menjawab, dia menambah,
“Tadi pun kau bersungut barang semua mahal. Kita wajib pastikan kerajaan yang bakal kita pilih mampu menangani masalah yang kita hadapi sekarang. Jangan beri peluang kepada kerajaan yang sama, yang tidak bersungguh-sungguh mengatasi masalah rakyat.”
Nita tetap mengunci mulut dan terus menyusun barang-barangnya.
“Diam je kau Nita? Setuju tak apa yang aku cakap tu?”
Leha selesai mengisi barang-barangnya. Dia menutup bonet kereta dan menapak mendekati Nita. Nita menoleh. Mata mereka bertembung. Leha mengangkat dagu bagai mengulangi soalannya.
“Betul apa yang kau cakap tu, Leha. Aku setuju. Tapi, aku ada masalah sikit, Leha…” Jawab Nita dengan suara perlahan.
“Masalah apa? Kalau kau tak keberatan, bagi taulah. Mudah-mudahan aku boleh tolong.”
“Khabarnya, calon-calon yang akan bertanding tempat aku mengundi nanti semuanya bukan Islam. Aku dengar ustaz kata, kita tak boleh lantik pemimpin yang bukan Islam.”
“Oh begitu. jadi masalahnya kau tak boleh mengundi lah sebab tak ada calon muslim?” Leha terus meneka apa yang dirasakan Nita sebagai masalah tadi.
Nita mengangguk.
“Nita, setiap calon mewakili satu parti atau satu gabungan beberapa parti. Kita pilih calon di tempat kita tidak bermakna kita lantik dia sebagai pemimpin…”
“Dia jadi wakil kita, bukankah itu bermakna dia pemimpin kita? Haram kita pilih bukan Islam sebagai pemimpin, Leha.” Nita menyahut pantas dengan suara yang agak tinggi.
“Aku tak mahu bahas pasal hukum, Nita…”
“Sebagai orang Islam, kita mesti tahu hukum dan mesti patuh pada hukum yang telah ditetapkan dalam agama kita.” Nita masih belum berganjak dengan kefahaman yang telah tersemat dalam fikirannya
“Itu aku tak nafikan, Nita. Tapi aku mahu kau dengar dulu apa yang aku cuba jelaskan ni.”
“Baik…”
“Sebagai pengundi, kita jangan tengok pada calon sahaja. Sebaliknya tengok juga pada parti atau gabungan parti-parti yang diwakilinya. Jika partinya menang dan berjaya membentuk kerajaan, apakah dasar yang akan mereka laksanakan, siapakah yang akan diangkat sebagai pemimpin tertinggi bagi negara kita…”
“Perdana Menteri?” Pintas Nita.
“Ye. Perdana Menteri serta barisan Menteri-menteri kabinetnya!” Balas Leha.
Nita mengerutkan muka seolah-olah membayangkan wajah-wajah bakal Perdana Menteri selepas PRU nanti.
“Apakah parti calon yang kita undi itu akan meneruskan dasar yang sama seperti sekarang? Dasar yang menyebabkan pelabur-pelabur asing lari, nilai mata wang jatuh menjunam, harga barang mencanak naik, rasuah dah jadi budaya… dan macam-macam?” Syarah Leha.
“Hai… aku rasa dah tak tahan dengan keadaan yang ada sekarang, sedih sangat. Terutama bila kau sebut tentang rasuah tu. Kalau dah jadi budaya, nak tak nak aku takut kita pun akan terjebak tanpa kita sedari. Sedangkan Nabi dah beri amaran keras, pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya terlaknat, na’udzu bilLah.”
“Kalau tak mahu keadaan ini berterusan, kena buat perubahan. Pilih calon dari parti yang bukan memerintah sekarang!”
“Macam mana dengan hukum melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin?”
“Aku tak layak nak cakap pasal hukum, Nita. Kau baca kat website mufti. Nanti aku bagi link.”
Nita mengangguk.
“Oh, mufti dah jelaskan ye? Lega sikit bila kau macam tu.”
“Alhamdulillah. Baca dan faham betul-betul!”
“Ok, boss. Balik dulu ye! Assalamu’alaikum.” Nita melangkah, membuka pintu kereta, masuk dan menghidupkan enjin.
Leha menjawab salam dan melakukan yang sama.
https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/2367-bayan-linnas-siri-ke-129-mengundi-calon-bukan-muslim-dalam-pilihanraya
Comments
Post a Comment