SEMBANG PRU 3

Kiah mengetuk pintu sambil memanggil-manggil, “Leha, Leha! Assalamu’alaikum!”

Leha meluru ke pintu seraya menjawab salam. Dia membuka pintu, lantas terpandang Kiah yang tercegat di hadapan. Dia menegur, “kenapa, Kiah? Kenapa cemas sangat macam kena kejar dik harimau?”

“Bagilah aku masuk dulu. Banyak nak cerita ni!”

“Ye, lah. Silakan puan!” Leha membuka pintu seluasnya untuk Kiah masuk. Kiah masuk, duduk dan menarik nafas.

Leha ke dapur, mengambil segelas air kosong untuk Kiah.

“Nah minum dulu…”

Kiah mengambil gelas berisi air dari tangan Leha, lantas meneguknya. Leha tersenyum memerhati gelagat Kiah.

“Sekarang dah boleh cerita?” tegur Leha diiringi tawa kecil. Kiah ikut tertawa.

“Aku dah tengok video Tuan Guru yang kau cerita semalam.” Kiah mula bersuara.

“Itu yang buat kau cemas?” Leha tertawa lagi.

“Bukan cemas, Leha. Otak aku ni makin bingung, makin keliru…”

“Iye ke? Kesian aku tengok kawan aku ni…”

“Nasib baik ada jiran yang baik macam kau, yang sentiasa bersedia mendengar suara hati aku, he he he…” 

“Ok, sekarang dah boleh cerita apa yang buat kau tambah bingung tu?”

“Dia kata sebab apa dia tolak kerjasama dengan BN ialah kerana BN ada keruh kerana kes penerima rasuah belum selesai…”

“Betul tu. Zahid, presiden UMNO kan sedang berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah?” Leha mencelah.

“Tapi PAS telah menubuhkan Muafakat Nasional bersama BN pada tahun 2019, bersepakat dengan BN dan PN membentuk kerajaan tebuk atap pada tahun 2020 dan beberapa hari lalu sebelum parlimen dibubarkan PAS bersama dengan BN dalam kerajaan, menjadi Menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri daripada BN! Kemudian tiba-tiba kata BN ada keruh, nak jernihkan dulu. Selama ini boleh pula bersekongkol dalam kekeruhan? Mana tak bingung kalau macam tu?” Kiah memuntahkan kebingungannya yang membuak-buak. Leha menadah telinga dengan setia.

“Dia juga kata BN zalim dan rakus. Sekat bantuan yang sepatutnya diberi kepada Kelantan. Kalau dah tahu BN zalim, kenapa bersekongkol dengan BN bentuk Perikatan Nasional pulak? Bukan BN yang ajak, tapi dia sendiri yang ajak. Selama ini dia baca ayat: “Jangan cenderung kepada orang zalim, nanti kamu disambar api neraka”… hei pening betul aku dibuatnya!” Kiah mengakhiri bebelannya dengan satu keluhan yang berat.

“Itu saja ke yang buat kau pening, Kiah?” soal Leha menduga.

“Banyak lagi… tapi cukuplah takat tu dulu, Leha. Dapat luahkan yang tu pun aku rasa dah lega. Kalau tak, rasa bengkak je dalam dada aku ni… he he…”

“Kau tak ada nak komen apa-apa ke, Leha? Diam je dari tadi?” Dia baru perasan, dari tadi hanya dia yang bercakap.

“Tak mengapa, kali ni bagi peluang pada kau. Biar kau betul-betul puas dan lawas… he he he.”

“Kau setuju tak apa yang aku cakap tu, Leha?”

“Setuju, Kiah. Memang banyak percanggahan apa yang dia cakap antara satu poin dengan poin yang lain. Antara apa yang dia cakap dahulu dengan apa yang dia buat sekarang. Sebab tu aku tidak hairan jika orang yang mahu berfikir seperti kau ni rasa bingung. Tapi masalahnya ramai yang tak guna akal untuk berfikir. Dengar, percaya dan ikut saja dengan alasan dia ulamak. Ini yang bahaya dan amat menakutkan.” 

“Betul tu, Leha. Aku masih ingat dulu kita pernah baca ayat tentang penyesalan orang-orang yang ikut pemimpin tanpa berfikir. Dalam surah apa ye?”

“Banyak kali Allah sebut dalam Quran tentang tu. Antara yang aku ingat… dalam surah al-Ahzab, jap aku tengok ayat ke berapa?” Leha membuka telefon bimbitnya dan menggerakkan hujung jari telunjuknya di atas skrin. 

“Ha… dah jumpa,”

“Ayat ke berapa?” pantas Kiah mencelah sambil menjenguk skrin telefon bimbit di tangan Leha

 “Ayat 66, 67 dan 68 yang berkamsud: “Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. "Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!"

“Allahu Akbar! Astaghfirullahal‘Adzim…”


Bersambung ….


Comments

Popular posts from this blog

SEMBANG PRU 2

BERBOHONG DIHARAMKAN KE ATAS ORANG AWAM SAHAJA?

SEMBANG PRU 1