ISLAM TIDAK MENGAMBIL KIRA MAJORITI?

Ustaz Nasir menamatkan kuliah subuh yang dijalankan secara atas talian tepat jam 7.30 pagi. Kuliah subuh bulanan yang telah berjalan sekian lama di masjid Raudhah al-Muqarrabin tidak dapat diteruskan kerana PKP. Namun para Jemaah tidak patah semangat. Mereka sepakat untuk meneruskan juga secara atas talian melalui platform google meet.

Sebahagian Jemaah telah keluar dari talian. Sebahagian masih menunggu, cuba mengintai peluang untuk bertanya soalan.

“Ustaz, bolehkah kalau saya hendak mengemukakan satu soalan? Tak ada kaitan dengan kuliah yang Ustaz sampaikan tadi. Tapi berkenaan isu semasa.” Haji Faisal bersuara.

“Awak nak tanya apa lagi, Haji? Ustaz dah tutup majlis dengan tasbih kaffarah tadi.” Haji Saleh menyahut.

“Tak mengapa, Haji. In syaa Allah saya boleh tunggu. Apa soalannya, Haji?” balas Ustaz Nasir.

“Tentang isu yang hangat diperkatakan sekarang, PM kata dia ada majoriti, pembangkang kata PM tak ada majoriti. Macam mana sebenarnya?” Haji Faisal mengemukakan kemusykilannya.

“Memang tak cukup majoritilah, haji. Cuba kira: yang Bersama dengan DSAI pada hari isnin 2 Ogos 107 orang, yang tarik sokongan daripada kalangan MP UMNO 10 orang. Campu dua tu jadi 117. 220 tolak 117, tinggal 103!” pintas Murad.

“Maksud saya bukan hendak mempersoalkan PM yang ada ni cukup majoriti atau tidak…” sahut Haji Faisal.

“Jadi, apa maksud Haji?” soal Haji Saleh.

“Saya nak tahu perkiraan majoriti menurut ajaran Islam. Adakah Islam mengambil kira bilangan majoriti dalam menentukan kepimpinan negara, Ustaz?” jelas Haji Faisal.

Semua terdiam. Baru mereka mengerti maksud Haji Faisal. Persoalan yang bagus dan penting untuk difahami terutama dalam situasi yang penuh dengan kekeliruan seperti sekarang. 

“Bagus soalan Haji tu”, sahut Bidin. “Tak sabar nak dengar penjelasan Ustaz ni” sambungnya.

“Baiklah tuan-tuan. Sebelum menjawab soalan Haji, saya bawakan satu kisah untuk renungan kita. Mungkin daripada kisah yang saya akan ceritakan ini ada jawapannya”. Tutur Ustaz Nasir dengan teratur.

Ustaz Nasir menceritakan secara ringkas kisah perlantikan Uthman bin Affan RA sebagai khalifah al-rasyid yang ke 3.

Ketika Umar bin al-Khattab RA terbunuh, beliau tidak menentukan nama penggantinya sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Bakar RA yang menamakan Umar. Sebaliknya Umar mencadangkan enam orang calon daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Mereka adalah: Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqqas dan Abdul Rahman bin Auf radhiallahu anhum ajma’ein. Mereka berenam ini hendaklah bermesyuarat bagi memilih salah seorang daripada mereka dengan kehadiran puteranya Abdullah bin Umar RA sebagai pemerhati dan penasihat, bukan sebagai calon.

Setelah berkumpul, Saad, Zubair dan Talhah menarik diri dari pencalonan. Tinggal tiga calon, iaitu Abdul Rahman, Uthman dan Ali. Abdul Rahman juga manarik diri. Namun dia mengambil tanggungjawab untuk meninjau pendapat umum, siapakah yang lebih disukai antara Uthman dan Ali.

Mulalah Abdul Rahman melaksanakan misinya. Beliau bertanya pendapat orang ramai yang terdiri dari semua peringkat tanpa mengira pangkat serta kedudukan. Beliau bertanya ketua qabilah, rakyat jelata, dalam majlis perhimpunan, juga secara persendirian. Bertanya secara terang-terangan dan secara rahsia. Termasuk para wanita yang berada di sebalik tabir di rumah-rumah mereka. Tidak ketinggalan kanak-kanak yang sedang belajar di katibah-katibah (katibah mungkin sama macam sekolah). Beliau juga turut bertanya para pedagang dan pelancong luar yang berkunjung ke Madinah. Semua itu dilakukan selama tiga hari tiga malam tanpa henti. Hasil tinjauan boleh dikatakan semuanya sepakat memilih Uthman kecuali ada diriwayat mengatakan dua orang memilih Ali, iaitu Ammar dan Miqdad.

Pada Subuh hari keempat kewafatan Umar, Abdul Rahman menjemput Ali dan Uthman datang ke Masjid Nabawi. Dan di hadapan jamaah yang ramai, beliau membaiah Uthman diikuti oleh semua jamaah. 

“Tuan-tuan itulah ringkasan kisah perlantikan Uthman bin Affan RA yang dipetik daripada kitab al-Bidayah wan-Nihayah karangan Ibn Kathir.” Ustaz Nasir menamatkan ceritanya tanpa membuat sebarang ulasan.

“Daripada kisah itu, bolehkah kita kata Islam mengambil kira suara majoriti, Ustaz?” soal Murad.

“Nampaknya “ya”, bukan?” Bidin pula menyampuk.

“Kalau macam tu, Islam sama lah dengan demokrasi, ya?” Haji Saleh pula mencelah.

“Betulkah Islam sama dengan demokrasi, Ustaz?” Murad menghalakan soalan direct kepada Ustaz Nasir apabila mendapati Ustaz Nasir tidak menyampuk sedari tadi.

“Bukan sama sepenuhnya, Haji. Demokrasi hanya melihat kepada majoriti semata-mata. Contohnya kalau ada dua calon, seorang bodoh, seorang lagi pandai. Kedua-duanya bertanding. Majoriti memilih yang bodoh, maka dialah yang jadi ketua walaupun lawannya itu jauh lebih layak dalam serba serbi. Sebaliknya Islam mengambil kira kedua-dua aspek, iaitu kelayakan dan juga pandangan umum. Seperti kes pemilihan antara Uthman dengan Ali. Kedua-duanya sama layak. Tetapi rakyat terbanyak lebih cenderung kepada Uthman.” Jelas Ustaz Nasir Panjang lebar.

“Dalam kes negara kita ni, Ustaz, jika PM enggan letak jawatan dalam keadaan dia telah hilang majoriti, berdosa ke? Sebab Islampun ambil kira majoriti juga?” soal Murad.

“Dosa atau pahala bukan urusan kita, tuan. Tetapi dari sudut etikanya tak berapa kenalah. Bila kita ikut system demokrasi, ikutlah betul-betul. Demokrasi menetapkan pihak yang ada majoriti, dialah yang menang. Yang tidak ada majoriti itu, seharusnya terimalah hakikat bahawa dia telah tewas. Janganlah ikut sebahagian saja. Masa nak bertanding, ikut demokrasi. Tetapi keputusan pertandingan, tak mahu ikut.”

“Okey. Faham, Ustaz. Terima kasih atas penjelasan” baru kedengaran suara Haji Faisal yang dari tadi mendiamkan diri.

“Maaf kerana mengambil masa Ustaz melayani persoalan kami” tambahnya lagi.

“Tak mengapa, Haji. Sudah menjadi tanggungjawab saya menjelaskan kekeliruan sekadar yang termampu”.

Sebelum talian ditutup, semua jemaah yang mengikuti perbincangan mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Nasir dan menzahirkan rasa puas hati dengan penjelasan yang telah diberikannya. 


07082021




Comments

Popular posts from this blog

SEMBANG PRU 2

BERBOHONG DIHARAMKAN KE ATAS ORANG AWAM SAHAJA?

SEMBANG PRU 1